"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang
menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di
dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam
persatuan-persatuan, di sekolah.
Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami,
dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.
Membina dan Meroboh
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang
membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan
teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang
tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila
dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan
ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang
dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran,
tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang
boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil,
akan terasa dan terus terseksa hati.
Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang
berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur
tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.
Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau
menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih
terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di
tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita
sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi
kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan
terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda
adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda
tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.
Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang
disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai
tanpa bercermin. Bukankah susah?
Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak
mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur.
Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran
itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan