Menyeru itu tugas setiap Muslim. Tiada yang terkecuali. Titik!
Tidak semua manusia yang diajak (dakwah) akan menurut seruan. Tidak
semua manusia akan terbuka pintu hatinya dan tiada satu pun penyeru
dapat mengubah seseorang ke jalan Allah melainkan dengan izin Allah
S.W.T.
Bertemu dengan manusia, semestinya mempunyai banyak ragam. Maka
seruan itu harus ada variasi dan penuh hikmah. Melihat keadaan
masyarakat yang dijadikan sasaran untuk diajak mengenal jalan Allah itu
adalah satu kemestian sebelum memulakan langkah dakwah. Peringatan,
penyeru hanyalah penyeru!
Menyeru Kepada Ma'ruf
Apabila mengajak seseorang kepada kebaikan, tidak kira siapa,
bukanlah menunjukkan bahawa diri kita lebih baik dari orang lain.
Hakikatnya dakwah itu adalah untuk menyeru diri kita sendiri dan orang
lain ke arah yang diredhai ALLAh SWT.
Maka, untuk melakukannya memerlukan perancangan dan sasaran yang tepat!
Mengajak kepada ma'ruf semestinya perlu berpandukan ilmu dan
kefahaman yang jelas. Untuk apa kita berdakwah? Kenapa kita berdakwah?
Atas kerana apa kita perlu melakukannya? Kerana ianya adalah amanah
Allah S.W.T!
Dai'e tidak seharusnya mengamalkan sikap serkap jarang terhadap
sasaran mad'u mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah mengenalpasti
sasaran dan kaedah yang bersesuaian untuk digunakan dan dalam masa yang
sama memperbetulkan niat dan memastikan bahawa diri sendiri mengamalkan
apa yang hendak diperkatakan kepada orang lain.
Kerana apa? Ucapan anda akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Syed Qutub ada menjelaskan, "Sesungguhnya kerja-kerja dakwah
dijalankan semata-mata untuk menuju ke pangkuan Ilahi, bukan untuk
kepentingan diri dan puak! Dan seorang dai'e tidak lain tidak bukan
hanyalah menjalankan amanah Allah S.W.T..."
Mencegah Yang Mungkar
Mencegah yang mungkar juga memerlukan kefahaman dan kaedah yang telah
digariskan dalam Islam. Pencegahan terhadap kemungkaran sebenarnya
adalah mengikut kemampuan diri anda sendiri sama ada mengubah dengan
tangan jika berkuasa dan mampu. Dengan lidah, iaitu menasihatinya dan
mencegah dengan hati, iaitu membenci kemungkaran tersebut lalu
meninggalkannya.
Saya berikan contoh situasi. Anda didatangi oleh sekumpulan kawan
anda yang mengajak anda untuk meminum arak. Anda tidak mampu untuk
mencegah dengan tangan. Lalu anda mencuba untuk mencegah dengan lidah,
dan ia tidak berkesan. Lalu anda menggunakan kaedah pencegahan yang
terakhir, iaitu membenci dengan hati. Lalu anda meninggalkan kumpulan
kawan anda itu.
Pendek kata, mencegah dengan hati dan meninggalkan serta merta!
Anda Penyeru, Anda Contoh
Menyeru ke arah kebaikan iaitu jalan mengenali Allah dan keindahan
Islam memang tugas seluruh Muslim. Namun, seruan itu adalah lebih kepada
diri anda sendiri. Kenapa saya berkata demikian?
Kerana, andalah contoh terhadap kata-kata anda. Kata orang, cakap
mesti serupa bikin. Setidak-tidaknya kita berusaha dan berusaha untuk
menjadi baik dipandangan Allah S.W.T. Jangan jadi seperti orang yang
asyik menyeru tetapi melupakan diri sendiri.
Eh, adakah orang seperti itu? Ada. Hayati kalam Allah S.W.T ini,
"Mengapa kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang kamu lupa
akan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab Allah, tidakkah kamu
berakal?" – (al-Baqarah : 44)
Malah Allah telah mencatatkan bahawa seorang dai'e yang cakap tidak
serupa bikin akan dibenci oleh-Nya dan kebencian Allah itu adalah satu
musibah yang besar bagi manusia!
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu
yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika
kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan." – (as-Shoff : 2-3)
Hakikatnya, berdakwah itu adalah seruan untuk diri sendiri
terutamanya, kemudian barulah untuk orang lain. Maknanya, diri sendiri
lebih bertanggungjawab untuk mempraktikkan apa yang telah diucapkan oleh
bibir.
Agama Allah tetap akan ada tanpa kita dan kita bukan siapa-siapa tanpa Islam!
Mari memperbaiki diri dan orang lain!
Semoga Allah merahmati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan