Ahad, 4 Mac 2012

RUMAH KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W


Menyebut tentang library bekas tempat kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, 

Klik untuk baca lagi...

Jumaat, 25 November 2011






Maksudnya : Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhamad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya.
Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku.
Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhamad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.



Maksudnya : Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhamad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami.
Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari Syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhamad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.




Klik untuk baca lagi...

Selasa, 23 Ogos 2011

MALAM LAILATUL-QADAR


Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.
Maksudnya: " Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya: " Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta

mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada

dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya: " Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh

akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: " Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan

dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:
Maksudnya: " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar

iaitu malam ke-27. "
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya: " Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam

yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "
Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati
malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:
Maksudnya: " Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah

keampunan-Mu untukku. "


Klik untuk baca lagi...MALAM LAILATUL-QADAR

Isnin, 15 Ogos 2011

Renungan Ramadhan


"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan.  Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah dan di hujungnya kebebasan dari api Neraka".

Gembiranya hati tidak terkira kerana masih berpeluang menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini. Terima kasih Ya Allah, kerana masih memberi kesempatan untuk diri ini bersama-sama mengapai rahmat dan redha-MU dalam menggandakan pahala di bulan yang mulia ini untuk menuju Syurga-MU.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesungguhnya Syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'.  Akan diseru pada hari kiamat: "Mana orang yang berpuasa?" Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Ya Allah, diri ini tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan-MU, sesungguhnya rindu ini semakin memuncak, bila tibanya bulan yang penuh keberkatan ini, apatah lagi bagi orang yang berpuasa semata-mata kerana-MU akan dikurniakan syafaat.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda: "Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya nanti, ia akan gembira kerana puasanya."[Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nisa'i]

"Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada Hari Kiamat.  Berkata puasa pada Hari Kiamat: "Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu" Dan berkata pula al-Quran: "Engkau larang ia tidur di waktu malam, sekarang  ia meminta syafaat padaku mengenai itu." Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah." [Hadis Riwayat Ahmad]

"Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." [Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan]

Sesungguhnya puasa itu banyak hikmah dan faedahnya.

Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

i. Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah
perhatian Allah.

ii. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.

iii. Allah menghendaki semua hamba-Nya memenuhi bulan tersebut dengan
amalan ketaatan dan taqarrub kepada-Nya.

iv. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan
memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan
keterlalulan.

v. Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.


Klik untuk baca lagi...Renungan Ramadhan

Ramadhan Bulan Hidayah



"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.." 
- [al-Baqarah: 183]

Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah S.W.T, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Ramadhan Bukan Hanya Menahan Lapar & Dahaga

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.
Taqwa Dan Hidayah

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah S.W.T. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.
Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.
Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah S.W.T. Dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Tunjukilah kami jalan yang lurus.." [al-Fatihah, ayat 6]

Memohon Hidayah Berkali-Kali Sehari

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah S.W.T berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah S.W.T. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar.

"(Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." [Surah al-Fatihah, ayat 7]
Siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah S.W.T :
"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.." [Surah an-Nisa', ayat 69]
Semarakkan Ramadhan Dengan al-Quran

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya.

Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah S.W.T untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah S.W.T dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah S.W.T.

Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, Syurga dan Neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya.

Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di Akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah S.W.T. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah S.W.T kelak.

Apabila al-Quran Diketepikan

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup.

Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union, ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.

Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah.

Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibu bapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-Allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.


Klik untuk baca lagi...Ramadhan Bulan Hidayah

Sabtu, 30 Julai 2011

Rahsia Cemerlang Dalam Pergaulan





Orang yang cemerlang ialah orang yang hebat dalam pergaulan dan ramai kawan. Tiada kejayaan sebenar tercetus secara bersendirian. Kita amat memerlukan bantuan, teguran dan penglibatan orang lain untuk mengorak langkah menuju kejayaan. Pakar motivasi tanah air, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah telah menyenaraikan faktor-faktor yang boleh meransang kehebatan dalam pergaulan.
Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik dengan kita ialah:

1. Jaga solat dan lakukan ibadah khusus dan umum yang lain.
2. Sentiasa bersangka baik dengan semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).
3. Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
4. Banyakkan bersedekah, sama ada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.
5. Sentiasa memperbanyakkan sabar. Cuba mencari 1001 sebab sebelum kita memarahi seseorang.
6. Sentiasa ceria apabila bertemu dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.
7. Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu sama lain.
8. Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan membuatkan orang lain mual terhadap kita.
9. Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insya-Allah orang lain akan tertarik kepada kita.
10. Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan bila diri mengingati mati.
11. Sentiasa syukur dan redha di atas pemberian Tuhan.
12. Sentiasa memberi salam atau ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13. Pamerkan simpati kepada individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.
14. Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15. Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan keburukan dan kelemahan orang lain.
16. Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.
Bagi menarik perhatian orang lain untuk mendekati kita, maka kita sendiri perlu memperbaiki diri dan kelemahan kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan kegiatan yang boleh mensabotaj serta memudaratkan dirinya. Setiap tindak tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:
“Orang tidak kisah setakat mana anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka”.
Klik untuk baca lagi...Rahsia Cemerlang Dalam Pergaulan

Rabu, 27 Julai 2011

Berhemah Dalam Menegur



''Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya."

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa. 
Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ''Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun." Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.


Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.



Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.



Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik."

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

''Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah."

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Panduan

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah;

1) tidak merendahkan ego orang yang ditegur

2) mencari waktu yang tepat

3) memahami kedudukan orang yang ditegur

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,

''Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk."

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

''Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut."

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.
Rasulullah s.a.w bersabda,

''Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan''.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Bangga

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah penyakit yang boleh 'mematikan' hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat."

Klik untuk baca lagi...Berhemah Dalam Menegur
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...