Jumaat, 24 Jun 2011

PENCEGAHAN JENAYAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

 

1. Surah An-Nahl ayat 114 :

فَكُلُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللّهُ حَلالاً طَيِّباً وَاشْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

"Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata."

2. Surah Al-Anfaal ayat 60 :

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدْوَّ اللّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka musuh-musuh menceroboh segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu.”

3. Surah Al-Maaidah ayat 2 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تُحِلُّواْ شَعَآئِرَ اللّهِ وَلاَ الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلاَ الْهَدْيَ وَلاَ الْقَلآئِدَ وَلا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَاناً وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُواْ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُواْ وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“…..bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pertelingkaran.”

4. Peranan masyarakat membantu polis mencegah jenayah :

• Menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kejadian jenayah yang berlaku di sekitar kawasan kediaman dan taman anda
• Membantu pihak polis dalam melaksanakan program pencegahan janayah dan lain-lain aktiviti
• Menyertai Rakan Cop dengan mendaftarkan diri di mana-mana ibu pejabat polis berdekatan
• Melaksanakan rondaan malam berkumpulan di kampung dan di dalam taman mengikut lokasi-lokasi tertentu
• Mengambil berat permasalahan sosial yang berlaku
• Meninggalkan kenderaan di tempat yang selamat dan berkunci
• Memastikan rumah dalam keadaan selamat dan memaklumkan kepada balai polis berdekatan tentang
   ketiadaan anda di rumah
• Membawa barang berharga mengikut arahan keselamatan yang telah ditetapkan
• Memasang kamera keselamatan di rumah dan premis
• Membawa kenderaan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan
• Tidak berjalan berseorangan di tempat sunyi bagi mengelak kejadian rogol dan samun
• Menjalinkan hubungan mesra dengan semua jiran dan masyarakat

5. Pelbagai lapisan masyarakat perlulah menjalin hubungan yang erat dan mesra serta menjadi sahabat polis setiap masa.

6. Masyarakat perlulah menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dalam mencegah jenayah yang semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat di negara ini.

7. Janganlah kita mudah terpedaya dengan fitnah-fitnah yang di bawa oleh musuh kita, bagi menghancurkn perpaduan dan kerjasama yang telah dipupuk sekian lama.

8. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. :

“Perumpamaan orang Mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.”

9. Kita perlulah sedar bahawa jika tiada kerjasama di kalangan masyarakat, maka amatlah sukar bagi pihak polis membanteras jenayah secara bersendirian.

10. Pengurangan kadar jenayah terutama jenayah jalanan terus diperkatakan malahan memerangi rasuah secara habis-habisan adalah satu jenayah yang akan dibanteras habis-habisan oleh pihak kerajaan.

11. Kita mendoakan agar Daerah Sepang dan negeri Selangor serta negara Malaysia menjadi negeri dan negara yang aman dan diberkati Allah.

12. Surah Al-Hujuraat ayat 13 :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenal (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”


 Oleh :  PPA 001 serta rakan-rakan Admin PTT Pagar Desa Sepang


Klik untuk baca lagi...PENCEGAHAN JENAYAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Siapakah Yang Akan Memerangi Musuh?

Segala Puji bagi Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, wujud-NYA tanpa memerlukan Tempat, DIA menghidupkan kita dan pada DIA juga kita kembali hendaknya. Syukur yang tidak terhingga kepada-NYA, kerana Islamnya saya dan anda semua masih berkekalan hingga kini.


Dengan ilmu yang terhad ini, ingin saya berkongsi sedikit ilmu sebagai peringatan dan pengajaran untuk kita semua sebagai hamba ALLAH S.W.T dan Khalifah-NYA di muka bumi ini.

Memahami peranan kita sebagai hamba, hubungan kita dengan Allah S.W.T dapat diterjemahkan melalui ibadah. Hanya ibadah yang khusyuk dan hati yang ikhlas disertai dengan rasa kerdil di hadapan Allah S.W.T merupakan ibadah yang yang dapat mencegah kita dari kemungkaran dan sentiasa mengawal tindak-tanduk kita sebagai manusia.

Semoga segala ibadah kita diterima oleh ALLAH S.W.T. Perkara yang saya ingin fokus pada kali ini mengenai suatu permasalahan yang terjadi dalam kalangan ummat Islam pada zaman kini iaitu masalah kejumudan dan sikap orthodoks dalam tanggungjawab beragama terutamanya mengenai dakwah.

Ada segelintir pihak dalam kalangan kita merasakan bahawa Islam ini hanya sekadar solat, puasa, zakat, dan beberapa aspek wajib seperti yang termaktub dalam Rukun Islam dan Rukun Iman yang kita ketahui.

Dengan memenuhi kesemua rukun tersebut, kita beranggapan bahawa kita sudah melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab sebagai Muslim, dalam pada masa yang sama keadaan sekeliling kita dipenuhi dengan maksiat dan kemungkaran yang sedang berleluasa. Persoalannya di sini, adakah dengan sekadar solat, puasa, zakat, dan memenuhi kesemua Rukun Islam dan Iman dapat mengubah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan ummat kita?

Sudah tentu jawapannya tidak, ini kerana kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap muslimin ialah kewajipan untuk menyeru ke jalan Allah S.W.T atau dkenali sebagai kewajipan berdakwah.

Perkataan dakwah merupakan suatu istilah Islami. Istilah ini tidak terdapat pada agama dan ajaran lain. Dua bahagian dalam dakwah dikenali sebagai amar makruf iaitu mengajak orang melakukan kebaikan serta mengamalkannya dan satu lagi bahagian disebut sebagai Nahi Mungkar iaitu mencegah kemungkaran yang berlaku di persekitaran kita.

Dakwah Itu adalah tugas para Rasul dan pengikut Rasul. Rasulullah S.A.W telah ditugaskan oleh Allah untuk melakukan kerja dakwah ini, begitu juga dengan nabi-nabi sebelumnya terutamanya Nabi Nuh a.s yang menyeru kepada kaumnya untuk ke jalan Allah. Dakwah yang dilakukan Nabi Nuh A.s berlangsung lebih dari 900 tahun.

Tanggungjawab dakwah hukumnya wajib tetapi dalam bentuk fardhu kifayah maka setiap muslimin wajib melakukannya dalam pelbagai cara mengikut kemampuan dan potensi yang ada dalam diri. Jelaslah di sini bahawa dakwah itu bererti menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang dan mencegah manusia dari kemungkaran.

Namun apabila para ulama dan fuqaha menetapkan dakwah itu ialah Fardhu Kifayah, ramai pihak beranggapan bahawa mereka boleh merehatkan diri dari kerja ini dan hanya menumpukan kepada Fardhu Ain semata-mata maka, ada dalam kalangan kita memilih untuk berdiam diri dari melakukan kerja ini dan menganggap dakwah ini dilakukan oleh golongan yang tertentu sahaja seperti orang yang bergelar ulama, mufti, dan ustaz.

Manakala kita hanya sekadar berkampung di masjid dan di rumah berzikir dan bertahajud. Bukanlah maksud di sini mengatakan ibadah di masjid dan rumah itu salah tetapi adakah cukup untuk kita sekadar beribadah dengan keadaan sekeliling yang penuh dengan kemungkaran dan maksiat?

Maksud Fardhu Kifayah mengenai perkara ini ialah setiap muslimin harus bangkit dan bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara ini mengikut potensi yang ada dalam diri untuk  mempersiapkan satu "Khayra ummah" sebagai contoh sebuah  jemaah yang menyeru manusia kepada Allah.

Untuk itu, seluruh umat Islam mesti menolong mereka dengan apa jua cara dan jalan untuk merealisasikan objektif jemaah tersebut iaitu untuk menegakkan agama Allah. Sekiranya ia tidak dilakukan oleh seluruh Muslimin, maka seluruhnya juga akan berdosa terutama mereka yang ada kemampuan untuk melakukannya.

Sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Abdullah Bin Mas'ud atau Ibnu Mas'ud merupakan sahabat yang membantah sikap sebegini. Beliau memahami tidak salah untuk beruzlah tetapi jangan jadikan uzlah itu suatu perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat apatah lagi dengan keadaan ummat yang kucar-kacir. Terdapat suatu cerita mengenai Ibnu Mas'ud.

Seorang ahli fiqh dari para tabi'in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya'bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di
pinggir bandar, beribadah di sana. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas'ud r.a. Dia pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau. Ibnu Mas'ud berkata kepada mereka: "Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?"

Mereka berkata: "Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kabut orang ramai untuk beribadat."

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang!"

Kemudian salah seorang muhaddith yang thiqah iaitu Abdullah Al-Mubarak atau Ibnu Mubarak antara orang yang menjadikan kisah di atas sebagai inspirasi hidupnya dan beliau mengkritik sikap sahabatnya iaitu Al-Fudhail Bin Iyadh (meninggal pada 187 Hijrah) juga merupakan seorang muhaddith yang thiqah dan digelar ahli ibadah di dua tanah haram kerana Al-Fudhail terkenal dengan ibadahnya di Mekah dan Madinah serta dikenali sebagai seorang yang gemar menangis ketika sujud dan sentiasa memakai wangi-wangian.

Ibnu Mubarak mengkritik sikap sahabatnya itu melalui suatu puisi yang menyentuh perasaan. Berikut adalah terjemahan Puisi tersebut :

Wahai orang yang sedang beribadat di dua tanah haram,
Jika kamu melihat kami nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.
Orang-orang itu membasahi lehernya dengan air mata,
Sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah,
Dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia,
Sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan,
Kamu berbau harum dengan minyak wangi,
Sedangkan minyak wangi kami adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan peperangan.

Telah datang kepada kami sabda Nabi kita,
Kata-kata yang benar, tepat dan bukan dusta:

"Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang
menyala."

Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa :

"Orang yang mati syahid itu tidak mati." Ini bukan satu dusta.

Apa yang dapat disimpulkan ialah mengenai sikap mengabaikan dakwah dalam kehidupan ini adalah bukan kerana fokus dalam beribadah tetapi kerana takut dan ingin berehat sambil menganggap Islam ini adalah agama yang ritual iaitu sekadar dianuti sedangkan agama ini perlu diperjuangkan oleh penganutnya sendiri.

Andai kata sikap begini masih membelenggu kita, siapakah yang akan meneruskan tugas ini yang telah kita warisi dari Nabi dan Rasul terdahulu?

Harapan kita untuk melihat pengganti Sallehuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh dalam generasi kita hanya sekadar harapan tanpa diusahakan.

Sesungguhnya, tanggungjawab setiap Muslimin itu bukan sahaja ke atas dirinya tetapi kepada orang dan keadaan di sekelilingnya. Sudah tiba masanya untuk kita ubah tassawur kita mengenai perkara ini dan menganjak ke arah paradigma yang baru dan memahami bahawa kita sebagai ummat akhir zaman dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas dakwah yang mulia ini.

Sikap berpeluk tubuh tidak akan membawa diri kita ke arah yang bermanfaat. Renungi sejarah ummat Islam yang terdahulu dan muhasabah diri kita agar kita mencapai matlamat yang diimpikan iaitu terjadinya pembentukan tamadun khayra Ummah seperti mana yang diterangkan dalam Surah al-Imran ayat 110 :

"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."

Semoga Kita sentiasa berada dalam redha Allah S.W.T. Wallahualam Bissawab.

 


Klik untuk baca lagi...Siapakah Yang Akan Memerangi Musuh?

Selasa, 21 Jun 2011

Ungkapan Maaf





Maaf

Ungkapan itu mungkin terlalu berat untuk diluahkan. Tak tahulah ego tahap mana yang meraja dalam diri. Susah sangatkah mahu dibebaskan dari sangkar hatimu itu? Tepuk dada, tanya iman. Biarkan hati diketuk. Dengan akal sekali lagi. Moga jernih air yang keruh.

Jangan memilih siapa dia. Perlukah dimaafkan atau tidak. Kita berukhuwah tanpa mengenal rupa bukan? Janganlah kerana dia bukan sahabat karibmu, ada hak dalam berukhuwah yang tak tertunai. Ada juga yang akrab bukan main, tapi oleh kerana satu kesilapan yang dia lakukan, kita menjauhkan diri.
Cermin diri. Muhasabah. Sempurnakah kita? Tidak. Begitu juga sahabatmu itu. Daripada mengenang kesilapannya yang cuma satu atau dua, apa kata kita hargai kebaikan dia yang lebih dari itu? Barulah terasa kemanisannya. InsyaAllah.

Ya, memberi dan memohon maaf itu salah satu hak dalam bersaudara. Macam mana nak rasa kemanisan iman kalau urusan semudah itu pun tak selesai? Excuse me. Semudah itu katamu?
Memang semudah itu kalau yang bertakhta di hati itu iman. Kalau ego yang menguasai, memanglah payah. Sekali lagi, ketuklah pintu hati dan tanya padanya siapa pemilik takhta tertingginya. Itu belum lagi sampai pada soalan yang lebih mencabar. Di mana DIA di hatimu?
Bukankah memaafkan itu bermakna kita berlapang dada dengan apa yang terjadi dalam sesebuah ukhuwah. Benarlah, berlapang dada itu yang paling asas sebenarnya dalam tingkatan ukhuwah. Kalau yang asas pun rapuh, bagaimana binaan ukhuwah tersebut mampu kukuh?

Mengalah Bukan Bererti Kalah
Tapi benar. Andai dia tidak mahu memaafkan, kamulah yang perlu mengambil langkah pertama. Ungkapkan kata keramat itu pada dia walaupun hatimu yang terluka. Leburkan egomu sendiri sebelum meleburkan ego yang lain! InsyaAllah sedikit sebanyak luka itu akan sembuh perlahan-lahan.
What you give, you get back. Itulah konsepnya. Moga-moga dengan sikapmu yang berhati mulia itu bisa melembutkan hatinya untuk meminta maaf kembali. Siapa tahu? Api tak mungkin dipadamkan dengan api bukan? Maka jadilah air.

Maafkan Dia Kerana Tidak Meminta Maaf Padamu
Dia masih berkeras hati? Penantian itu satu penyiksaan bukan? Maka janganlah ditunggu. Kelak memakan diri kerana terlalu lama menunggu. Biarkan dia. Lepaskan dan bebaskan perasaan resah yang membelenggu jiwamu. Biarkan ia terbang. Jangan ditunggu kepulangannya. Serahkan bulat-bulat pada DIA!
Maafkan dirimu. Dan maafkan dia kerana tidak melakukan apa yang kamu hajatkan. Itulah maaf yang sebenar-benarnya. Manusia kan makhluk Allah yang sangat kompleks? Kita bukan Tuhan yang mampu membolak-balikkan hati mereka. Bahkan hati sendiri pun belum tentu!
Sibukkan diri dengan perkara lain. Jangan terlalu memberatkan fikiran dengan sesuatu yang tidak pasti. Utamakan yang lebih utama. Allah kurniakan pada manusia kemampuan dan pengetahuan yang sangat-sangat terbatas. Kamu tahu kenapa? Hikmahnya apa? Renung-renungkan. Fikir-fikirkan.

Maaf Itu Membahagiakan
Kalau kamu benar-benar memaafkan, nescaya berbahagialah kamu. Kelak bila ungkapan yang sama datang daripada dia, bahagia itu tiada taranya! Berkali-kali ganda! Dan saat itu, katakan terima kasih padanya, kerana menjadikan kamu orang yang paling bahagia pada waktu itu. Alhamdulillah.
Sabda baginda Nabi Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.

Ambil masa beberapa minit dan muhasabah. Bermula daripada ibu, ayah, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, dan sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam hidup kita walau sekejap cuma. Yang di depan mahupun di belakang tempat duduk semasa sekolah dahulu. Yang dekat mahupun jauh terpisah beribu batu. Yang sama-sama berjuang dengan penat lelah dan jerih payah mahupun yang pernah mencaci dan menghina perjuangan itu.

Mereka tetap manusia seperti kita. Jangan memilih. Ungkapkan kata keramat itu pada mereka seikhlas hatimu. Walaupun pada mereka yang telah selalu diucapkan. Apatah lagi pada mereka yang pernah kamu lukakan hatinya sehingga menyebabkan ukhuwah itu retak. Juga pada mereka yang telah banyak mencurahkan kebaikan padamu. Kerana ungkapan maaf dan terima kasih yang lahir dari hati itu akan membahagiakan saudaramu.

Abu Burdah r.a berkata:  

Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:  Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu.  

                                                                                                              (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Klik untuk baca lagi...Ungkapan Maaf

Renung-renung lah selamat beramal

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 Hukum Jual Beli Lepas Azan Jumaat 

Ini isu yang telah lama dan berulangkali diperjelaskan namun, bagi mereka yang sekadar tahu atau buat-buat tak tahu, renungkanlah apa hasil dan kesannya ke atas diri kita..

BERJUAL BELI SELEPAS AZAN JUMAAT 


SUDAH menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang berkerjaya terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengah hari untuk makan serta menunaikan solat fardu Jumaat.  Namun, ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.
PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru, setiap urus niaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus.
Ia tidak termasuk di dalam perbincangan ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.
Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat Jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.
Perbincangan hukum hanya berkisar kepada lelaki, sama ada peniaga, pembeli atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh selain tidak bermusafir.
Asas hukum adalah dari surah Al-Jumaat ayat 9:
“Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah Subhanahu Wata’ala dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui,”.


AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun sudah ijma’ di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua. (Bidayatul Mujtahid, 4/169: Tafsir Ibn Kathir, 4/368).
Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Abu Bakar As-Siddiq Radiallahu Anhu dan Umar Al Khattab Radiallahu Anhu hanyalah sekali saja iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah.
Di zaman pemerintahan khalifah Uthman Radiallahu Anhu, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Hasil daripada kewujudan lebih daripada satu azan selepas zaman Uthman Radiallahu Anhu, ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya.
Mazhab Maliki dan Hambali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar. Ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat al-Quran, semasa hayat baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (Rujuk Al-Iqna’, Al-Khatib, 1/151: Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/39).
Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan: “Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24).
Namun begitu, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka berpendapat pengharaman bermula sejak daripada azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari berkenaan (Syarh Fath Al-Qadir, 2/69).
Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.
Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut: “Ulama bersepakat berkenaan pengharaman jual beli selepas azan kedua (Tafsir Ibn Kathir, 4/367).

BERDOSA SAJA ATAU AKAD JUGA BATAL?
Walaupun berjual beli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas penjual dan pembeli namun adakah akad jual beli mereka terbatal?
Jika kesalahan itu dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain.
Jika akad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperoleh oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli terhadap barangan beliannya.
Jika itu berlaku, bererti kedua-dua pihak menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh subahat dan bermasalah.
Dalam hal ini, ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya akad. Ulama terbahagi kepada dua kumpulan:
1- Akad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.
2- Akad batal dan berdosa. Ia adalah pendapat mazhab Hambali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli sudah semuanya dipenuhi kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan saja. Atas kesalahan itu, dosa saja ditanggung tanpa pembatalan akad.
Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan di mana saja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan supaya dapat dinasihatkan kepada peniaga dan semua Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan terbabit. Kita bimbang, akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya berulang kali.

KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
1- Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
2- Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
3- Mengetahui berkenaan hukum haram itu dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.
Saya amat berharap supaya khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar dan bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua.
Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid bagi menyedarkan mereka yang kurang faham dengannya.
Harap dengan membaca artikel ini, tidak lagi kita tergolong dalam golongan yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wata’ala dala urusan jual beli pada hari Jumaat ini. Sila salin dan sebarkan kepada rakan-rakan ..

Wassalam


Klik untuk baca lagi...Renung-renung lah selamat beramal

Isnin, 20 Jun 2011

Renungan Bersama



Nama: Iblis Laknatullah
Tarikh Lahir: Sejak dia mula ingkar sujud kepada Adam setelah diperintahkan oleh Allah S.W.T
Status: Fasiq kelas pertama (first class)
Agama: Kafir
Tempat Tinggal: Di dalam hati manusia yang lalai
Kawasan Jajahan: Semua tempat yang tidak ada usaha untuk mengingati Allah S.W.T
Tempat tinggal: Neraka Jahanam
Hobi: Melalaikan orang daripada mengingati Allah
Kegemaran: Menjadi penggoda yang sesat untuk menyesatkan anak-anak Adam
Cita-cita: Menjadikan semua anak Adam sesat lagi menyesatkan
Kerja yang paling disukai: Homoseksual dan Lesbian
Hiburan: 18 SX
Klik untuk baca lagi...Renungan Bersama

Kejadian Kejar Mengejar



Assalamualaikum .....
          Kepada rakan-rakan PTT Pagar Desa Sepang dan PTT Sepang , para sahabat dan para solihin .....dan salam sejahtera  kepada rakan-rakan yang melawati laman web ini . Di sini Anggota PTT Pagar Desa ingin berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan yang mana satu kejadian kejar-mengejar berlaku di Bandar Baru Salak Tinggi. Pada ketika itu PPA001 bersama TA Gelame menaiki kenderaan proton satria kepunyaan TA Gelama dan DSP 001 Mengkarung bersama Atok menaiki kenderaan Suzuki Swfit kepunyaan DSP 001 Mengkarung telah mendapat satu maklumat awam menyatakan ada 4 orang lelaki berbangsa india sedang berlega-lega di sekitar Taman Seroja dan Taman Dahlia Bandar Baru Salak Tinggi . Pada ketika itu waktu kejadian berlaku jam 0345hrs PPA 001 dan TA Gelame berlega-lega di sekitar kawasan taman untuk mencari saspek yang disyaki.

          Kemudian semasa anggota membuat rondaan mereka telah menerima panggilan melalui PTT dari Sentral 01 memaklumkan seorang lelaki didapati sedang berjalan kaki di kawasan hadapan Masjid Bandar Baru Salak Tinggi. PPA 001 bersama TA Gelame menaiki kenderaan terus ke lokasi yang disyaki manakala DSP 001 Mengkarung bersama Atok mengikuti dari belakang. Sampai di tempat kejadian TA Gelame telah cuba menahan lelaki tersebut tetapi lelaki tersebut telah melarikan diri dan berlakulah acara kejar-mengejar antara kami dan saspek. Saspek dapat di tangkap oleh DSP 001 Mengkarung di tempat kejadian. Rakan-rakan boleh melihat gambar di bawah atikel ini.










 
  Begitulah kisah yang berlaku dan saspek terus di bawa ke Balai IPD Sepang untuk siasatan lanjut. Itulah salah satu pengalaman anggota PTT Pagar Desa yang terlibat dalam acara kejar mengejar pada malam tersebut dan kami berharap kepada rakan-rakan semua marilah kita sama-sama berganding bahu untuk membenteras jenayah yang berlaku di kawasan kita. Dalam pada itu juga kami berpendapat betapa pentingnya jika kita mempunyai telefon yang menggunakan fungsi PTT ini kerana di samping kita mempunyai rakan yang ramai di samping itu juga kita dapat membantu pihak PDRM untuk membenteras jenayah di sekitar kawasan kita.


Klik untuk baca lagi...Kejadian Kejar Mengejar

Masyarakat dan polis perlu berganding bahu benteras jenayah

     Integrasi  antara masyarakat dan anggota polis harus dikekalkan dalam usaha kedua-dua pihak berusaha membendung jenayah yang berlaku di kawasan perumahan. Dengan adanya kerjasama erat antara kedua-dua belah pihak,  tidak mustahil  kadar jenayah berjaya dikurangkan memandangkan tugas membendung jenayah bukan terletak di bahu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.




Klik untuk baca lagi...Masyarakat dan polis perlu berganding bahu benteras jenayah

PERJUMPAAN AHLI JAWATANKUASA PTT PAGAR DESA SEPANG DAN MASYARAKAT BERSAMA OCPD TUAN IMRAN DAN OCS TUAN SALIMUN DI BALAI IPD SEPANG


OCPD Tuan Imran bersama OCS Tuan Salimun



Taklimat Pagar Desa di sampaikan oleh TDR 08 En. Abdul Razak

Indah 01 En Rahman

TA Gelame  Abg Latip

KK BADman 001 En Alfian dan DSP 001 Mengkarung 

Indah 08  En. Basir

Ahli Jawatankuasa PDS berbincang bersama OCPD dan OCS
 

OCPD Tuan Imran bersama OCS Tuan Salimun

 


Indah 01 bersama DSP 001 Mengkarung


 Perbincangan tersebut adalah atas usaha sama Jawatankuasa  PTT Pagar Desa Sepang dan Masyarakat untuk membantu pihak PDRM menangani segala bentuk jenayah di daerah sepang dan juga di atas persetujuan dari pihak PDRM PTT Pagar Desa Sepang akan dilancarkan atau diresmikan pada masa yang terdekat ini.

Klik untuk baca lagi...PERJUMPAAN AHLI JAWATANKUASA PTT PAGAR DESA SEPANG DAN MASYARAKAT BERSAMA OCPD TUAN IMRAN DAN OCS TUAN SALIMUN DI BALAI IPD SEPANG
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...