Jumaat, 24 Jun 2011

Siapakah Yang Akan Memerangi Musuh?

Segala Puji bagi Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, wujud-NYA tanpa memerlukan Tempat, DIA menghidupkan kita dan pada DIA juga kita kembali hendaknya. Syukur yang tidak terhingga kepada-NYA, kerana Islamnya saya dan anda semua masih berkekalan hingga kini.


Dengan ilmu yang terhad ini, ingin saya berkongsi sedikit ilmu sebagai peringatan dan pengajaran untuk kita semua sebagai hamba ALLAH S.W.T dan Khalifah-NYA di muka bumi ini.

Memahami peranan kita sebagai hamba, hubungan kita dengan Allah S.W.T dapat diterjemahkan melalui ibadah. Hanya ibadah yang khusyuk dan hati yang ikhlas disertai dengan rasa kerdil di hadapan Allah S.W.T merupakan ibadah yang yang dapat mencegah kita dari kemungkaran dan sentiasa mengawal tindak-tanduk kita sebagai manusia.

Semoga segala ibadah kita diterima oleh ALLAH S.W.T. Perkara yang saya ingin fokus pada kali ini mengenai suatu permasalahan yang terjadi dalam kalangan ummat Islam pada zaman kini iaitu masalah kejumudan dan sikap orthodoks dalam tanggungjawab beragama terutamanya mengenai dakwah.

Ada segelintir pihak dalam kalangan kita merasakan bahawa Islam ini hanya sekadar solat, puasa, zakat, dan beberapa aspek wajib seperti yang termaktub dalam Rukun Islam dan Rukun Iman yang kita ketahui.

Dengan memenuhi kesemua rukun tersebut, kita beranggapan bahawa kita sudah melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab sebagai Muslim, dalam pada masa yang sama keadaan sekeliling kita dipenuhi dengan maksiat dan kemungkaran yang sedang berleluasa. Persoalannya di sini, adakah dengan sekadar solat, puasa, zakat, dan memenuhi kesemua Rukun Islam dan Iman dapat mengubah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan ummat kita?

Sudah tentu jawapannya tidak, ini kerana kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap muslimin ialah kewajipan untuk menyeru ke jalan Allah S.W.T atau dkenali sebagai kewajipan berdakwah.

Perkataan dakwah merupakan suatu istilah Islami. Istilah ini tidak terdapat pada agama dan ajaran lain. Dua bahagian dalam dakwah dikenali sebagai amar makruf iaitu mengajak orang melakukan kebaikan serta mengamalkannya dan satu lagi bahagian disebut sebagai Nahi Mungkar iaitu mencegah kemungkaran yang berlaku di persekitaran kita.

Dakwah Itu adalah tugas para Rasul dan pengikut Rasul. Rasulullah S.A.W telah ditugaskan oleh Allah untuk melakukan kerja dakwah ini, begitu juga dengan nabi-nabi sebelumnya terutamanya Nabi Nuh a.s yang menyeru kepada kaumnya untuk ke jalan Allah. Dakwah yang dilakukan Nabi Nuh A.s berlangsung lebih dari 900 tahun.

Tanggungjawab dakwah hukumnya wajib tetapi dalam bentuk fardhu kifayah maka setiap muslimin wajib melakukannya dalam pelbagai cara mengikut kemampuan dan potensi yang ada dalam diri. Jelaslah di sini bahawa dakwah itu bererti menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang dan mencegah manusia dari kemungkaran.

Namun apabila para ulama dan fuqaha menetapkan dakwah itu ialah Fardhu Kifayah, ramai pihak beranggapan bahawa mereka boleh merehatkan diri dari kerja ini dan hanya menumpukan kepada Fardhu Ain semata-mata maka, ada dalam kalangan kita memilih untuk berdiam diri dari melakukan kerja ini dan menganggap dakwah ini dilakukan oleh golongan yang tertentu sahaja seperti orang yang bergelar ulama, mufti, dan ustaz.

Manakala kita hanya sekadar berkampung di masjid dan di rumah berzikir dan bertahajud. Bukanlah maksud di sini mengatakan ibadah di masjid dan rumah itu salah tetapi adakah cukup untuk kita sekadar beribadah dengan keadaan sekeliling yang penuh dengan kemungkaran dan maksiat?

Maksud Fardhu Kifayah mengenai perkara ini ialah setiap muslimin harus bangkit dan bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara ini mengikut potensi yang ada dalam diri untuk  mempersiapkan satu "Khayra ummah" sebagai contoh sebuah  jemaah yang menyeru manusia kepada Allah.

Untuk itu, seluruh umat Islam mesti menolong mereka dengan apa jua cara dan jalan untuk merealisasikan objektif jemaah tersebut iaitu untuk menegakkan agama Allah. Sekiranya ia tidak dilakukan oleh seluruh Muslimin, maka seluruhnya juga akan berdosa terutama mereka yang ada kemampuan untuk melakukannya.

Sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Abdullah Bin Mas'ud atau Ibnu Mas'ud merupakan sahabat yang membantah sikap sebegini. Beliau memahami tidak salah untuk beruzlah tetapi jangan jadikan uzlah itu suatu perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat apatah lagi dengan keadaan ummat yang kucar-kacir. Terdapat suatu cerita mengenai Ibnu Mas'ud.

Seorang ahli fiqh dari para tabi'in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya'bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di
pinggir bandar, beribadah di sana. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas'ud r.a. Dia pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau. Ibnu Mas'ud berkata kepada mereka: "Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?"

Mereka berkata: "Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kabut orang ramai untuk beribadat."

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang!"

Kemudian salah seorang muhaddith yang thiqah iaitu Abdullah Al-Mubarak atau Ibnu Mubarak antara orang yang menjadikan kisah di atas sebagai inspirasi hidupnya dan beliau mengkritik sikap sahabatnya iaitu Al-Fudhail Bin Iyadh (meninggal pada 187 Hijrah) juga merupakan seorang muhaddith yang thiqah dan digelar ahli ibadah di dua tanah haram kerana Al-Fudhail terkenal dengan ibadahnya di Mekah dan Madinah serta dikenali sebagai seorang yang gemar menangis ketika sujud dan sentiasa memakai wangi-wangian.

Ibnu Mubarak mengkritik sikap sahabatnya itu melalui suatu puisi yang menyentuh perasaan. Berikut adalah terjemahan Puisi tersebut :

Wahai orang yang sedang beribadat di dua tanah haram,
Jika kamu melihat kami nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.
Orang-orang itu membasahi lehernya dengan air mata,
Sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah,
Dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia,
Sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan,
Kamu berbau harum dengan minyak wangi,
Sedangkan minyak wangi kami adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan peperangan.

Telah datang kepada kami sabda Nabi kita,
Kata-kata yang benar, tepat dan bukan dusta:

"Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang
menyala."

Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa :

"Orang yang mati syahid itu tidak mati." Ini bukan satu dusta.

Apa yang dapat disimpulkan ialah mengenai sikap mengabaikan dakwah dalam kehidupan ini adalah bukan kerana fokus dalam beribadah tetapi kerana takut dan ingin berehat sambil menganggap Islam ini adalah agama yang ritual iaitu sekadar dianuti sedangkan agama ini perlu diperjuangkan oleh penganutnya sendiri.

Andai kata sikap begini masih membelenggu kita, siapakah yang akan meneruskan tugas ini yang telah kita warisi dari Nabi dan Rasul terdahulu?

Harapan kita untuk melihat pengganti Sallehuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh dalam generasi kita hanya sekadar harapan tanpa diusahakan.

Sesungguhnya, tanggungjawab setiap Muslimin itu bukan sahaja ke atas dirinya tetapi kepada orang dan keadaan di sekelilingnya. Sudah tiba masanya untuk kita ubah tassawur kita mengenai perkara ini dan menganjak ke arah paradigma yang baru dan memahami bahawa kita sebagai ummat akhir zaman dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas dakwah yang mulia ini.

Sikap berpeluk tubuh tidak akan membawa diri kita ke arah yang bermanfaat. Renungi sejarah ummat Islam yang terdahulu dan muhasabah diri kita agar kita mencapai matlamat yang diimpikan iaitu terjadinya pembentukan tamadun khayra Ummah seperti mana yang diterangkan dalam Surah al-Imran ayat 110 :

"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."

Semoga Kita sentiasa berada dalam redha Allah S.W.T. Wallahualam Bissawab.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...