Selasa, 23 Ogos 2011

MALAM LAILATUL-QADAR


Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.
Maksudnya: " Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya: " Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta

mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada

dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya: " Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh

akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: " Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan

dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:
Maksudnya: " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar

iaitu malam ke-27. "
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya: " Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam

yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "
Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati
malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:
Maksudnya: " Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah

keampunan-Mu untukku. "


Klik untuk baca lagi...MALAM LAILATUL-QADAR

Isnin, 15 Ogos 2011

Renungan Ramadhan


"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan.  Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah dan di hujungnya kebebasan dari api Neraka".

Gembiranya hati tidak terkira kerana masih berpeluang menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini. Terima kasih Ya Allah, kerana masih memberi kesempatan untuk diri ini bersama-sama mengapai rahmat dan redha-MU dalam menggandakan pahala di bulan yang mulia ini untuk menuju Syurga-MU.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesungguhnya Syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'.  Akan diseru pada hari kiamat: "Mana orang yang berpuasa?" Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Ya Allah, diri ini tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan-MU, sesungguhnya rindu ini semakin memuncak, bila tibanya bulan yang penuh keberkatan ini, apatah lagi bagi orang yang berpuasa semata-mata kerana-MU akan dikurniakan syafaat.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda: "Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya nanti, ia akan gembira kerana puasanya."[Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nisa'i]

"Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada Hari Kiamat.  Berkata puasa pada Hari Kiamat: "Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu" Dan berkata pula al-Quran: "Engkau larang ia tidur di waktu malam, sekarang  ia meminta syafaat padaku mengenai itu." Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah." [Hadis Riwayat Ahmad]

"Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." [Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan]

Sesungguhnya puasa itu banyak hikmah dan faedahnya.

Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

i. Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah
perhatian Allah.

ii. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.

iii. Allah menghendaki semua hamba-Nya memenuhi bulan tersebut dengan
amalan ketaatan dan taqarrub kepada-Nya.

iv. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan
memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan
keterlalulan.

v. Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.


Klik untuk baca lagi...Renungan Ramadhan

Ramadhan Bulan Hidayah



"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.." 
- [al-Baqarah: 183]

Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah S.W.T, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Ramadhan Bukan Hanya Menahan Lapar & Dahaga

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.
Taqwa Dan Hidayah

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah S.W.T. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.
Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.
Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah S.W.T. Dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Tunjukilah kami jalan yang lurus.." [al-Fatihah, ayat 6]

Memohon Hidayah Berkali-Kali Sehari

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah S.W.T berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah S.W.T. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar.

"(Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." [Surah al-Fatihah, ayat 7]
Siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah S.W.T :
"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.." [Surah an-Nisa', ayat 69]
Semarakkan Ramadhan Dengan al-Quran

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya.

Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah S.W.T untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah S.W.T dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah S.W.T.

Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, Syurga dan Neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya.

Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di Akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah S.W.T. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah S.W.T kelak.

Apabila al-Quran Diketepikan

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup.

Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union, ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.

Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah.

Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibu bapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-Allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.


Klik untuk baca lagi...Ramadhan Bulan Hidayah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...