Sabtu, 30 Julai 2011

Rahsia Cemerlang Dalam Pergaulan





Orang yang cemerlang ialah orang yang hebat dalam pergaulan dan ramai kawan. Tiada kejayaan sebenar tercetus secara bersendirian. Kita amat memerlukan bantuan, teguran dan penglibatan orang lain untuk mengorak langkah menuju kejayaan. Pakar motivasi tanah air, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah telah menyenaraikan faktor-faktor yang boleh meransang kehebatan dalam pergaulan.
Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik dengan kita ialah:

1. Jaga solat dan lakukan ibadah khusus dan umum yang lain.
2. Sentiasa bersangka baik dengan semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).
3. Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
4. Banyakkan bersedekah, sama ada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.
5. Sentiasa memperbanyakkan sabar. Cuba mencari 1001 sebab sebelum kita memarahi seseorang.
6. Sentiasa ceria apabila bertemu dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.
7. Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu sama lain.
8. Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan membuatkan orang lain mual terhadap kita.
9. Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insya-Allah orang lain akan tertarik kepada kita.
10. Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan bila diri mengingati mati.
11. Sentiasa syukur dan redha di atas pemberian Tuhan.
12. Sentiasa memberi salam atau ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13. Pamerkan simpati kepada individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.
14. Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15. Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan keburukan dan kelemahan orang lain.
16. Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.
Bagi menarik perhatian orang lain untuk mendekati kita, maka kita sendiri perlu memperbaiki diri dan kelemahan kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan kegiatan yang boleh mensabotaj serta memudaratkan dirinya. Setiap tindak tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:
“Orang tidak kisah setakat mana anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka”.
Klik untuk baca lagi...Rahsia Cemerlang Dalam Pergaulan

Rabu, 27 Julai 2011

Berhemah Dalam Menegur



''Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya."

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa. 
Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ''Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun." Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.


Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.



Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.



Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik."

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

''Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah."

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Panduan

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah;

1) tidak merendahkan ego orang yang ditegur

2) mencari waktu yang tepat

3) memahami kedudukan orang yang ditegur

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,

''Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk."

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

''Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut."

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.
Rasulullah s.a.w bersabda,

''Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan''.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Bangga

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah penyakit yang boleh 'mematikan' hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat."

Klik untuk baca lagi...Berhemah Dalam Menegur

Jangan Ada Benci


Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. 
Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempattidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita denganmemaafkan semua orang sebelum tidur? Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:


1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.

2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.

4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain. Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.

8) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.

9) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.

10) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.

11) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

12) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.

13) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

14) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.

15) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.
Terlebih dahulu baiki diri untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita.




Klik untuk baca lagi...Jangan Ada Benci

Teguran Itu Penting Dalam Kehidupan


"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."

Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.




Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.



Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.
Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?
Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Klik untuk baca lagi...Teguran Itu Penting Dalam Kehidupan

Ahad, 24 Julai 2011

NILAI AMALAN DAN HATI KITA








Assalammualaikum ...

Kepada Para Sahabat, Para Solihin dan rakan-rakan PTT sekalian....
Atikal pada kali ini adalah berkenaan dengan:-

NILAI AMALAN DAN HATI KITA
 
     Ilmu tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia.Ketahuilah bahawa ilmu tidak mampu menjauhkan diri kita hari ini daripada maksiat dan tidak akan mendorong kepada taat
serta tidak menjauhkan diri kita daripada azab neraka. Jika kita tidak beramal hari ini maka kita tidak akan dapat kembali untuk beramal pada hari yang telah berlalu pergi...

     Bagaimana pula dengan ibadat seharian kita wahai teman?. Adakah kita merasakan ia sudah banyak dan mencukupi sedangkan kita pernah membaca kisah mengenai seorang lelaki dari Bani Israel telah beribadat kepada Allah selama 70 tahun. Allah telah mengutuskan malaikat kepadanya dan menyatakan bahawa ibadatnya yang begitu banyak tidak mampu menjamin dia untuk merasai nikmat Syurga Allah. Lalu dia menyatakan bahawa dia beribadat kerana dia dijadikan untuk beribadat bukannya mengharapkan balasan. 
     Apabila malaikat memberitahu kepada Allah tentang jawapan yang telah diberikan maka Allah menyatakan bahawa Dia telah mengampuni segala dosa-dosa lelaki itu. Rabi'ah 'Adawiyah salah seorang daripada waliullah telah menyatakan bahawa ibadat yang ditunaikan bukan kerana takut azab Allah dan mengharapkan syurga Allah tetapi dilakukan kerana taat dan patuh pada perintahNya.Sayyidina Ali mengatakan sesiapa yang menganggap dia akan mencapai sesuatu tanpa kesungguhan maka dia sebenarnya berangan-angan tetapi sesiapa yang bercita-cita untuk mendapat sesuatu bersama dengan usaha yang bersunguh-sungguh dia akan mencapainya.Sayyidina Hassan juga pernah mengingatkan bahawa mengharapkan Syurga tanpa amalan merupakan satu dosa daripada dosa-dosa yang lain.

     Renungilah kata-kata imam al-Ghazali bahawa jika kita membaca kitab seratus tahun dan mengumpul seribu kitab, ia tidak menjadikan diri kita bersedia untuk mendapat rahmat Allah melainkan dengan amalan.Sekalipun seseorang hamba memasuki Syurga dengan kelebihan dan kasih sayang daripada Allah tetapi ia dapat dicapai selepas dia menunaikan segala ketaatan dan ibadat kerana rahmat Allah hampir dengan orang yang sentiasa mengerjakan amalan yang baik dan soleh.

Klik untuk baca lagi...NILAI AMALAN DAN HATI KITA

Sabtu, 16 Julai 2011

Amalan yang Tidak Putus Pahalanya

 



Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

Amal manusia yang tidak pernah putusnya mendapat pahala disisi Allah, Ada tiga perkara:

AMAL-JARIAH: Amal Jariah ertinya pekerjaan yang baik umpamanya dia menyumbangkan tenaga atau harta atau fikiran kepada masyarakat untuk pembaikan atau pembiayaan untuk masjid, musolla, madrasah, rumah sakit dan sebagainya maka selagi masjid masih digunakan beribadat, musolla dan madrasah dipakai orang, maka selama itu pula orang tadi mendapat pahala di sisi Tuhan.

Tapi kebanyakan orang berfaham amal jariah itu hanya untuk agama sahaja padahal untuk umum pun termasuk amal jariah juga. Misalnya: Sebuah Jalan atau jambatan yang umum diguna kerosakan, kemudian secara bergotong-royong masyarakat setempat beramai-ramai memperbaiki itupun termasuk amal jariah.

Orang awam berpendapat yang dikatakan amal soleh adalah cuma solat dan puasa saja padahal bukan yang demikian. Yang dimaksudkan dengan kata "amal soleh" adalah perbuatan yang baik, baik dalam pandangan mata umum dan juga pandangan agama. Maka tandanya orang beriman, ialah yang suka melakukan amal kebajikan.

ANAK YANG SOLEH (ANAK YANG BAIK): Sudah jelas jika orang ingin mempunyai anak yang soleh, tidak mudah diperolehi begitu saja. Maka yang pertama wajib atas org tua mengajar anak dengan pendidikan agama. Selain menghantar anaknya ke sekolah umum dan sekolah agama, orang tua juga harus memberi contoh yang baik kepada anaknya dengan melaksanakan perintah agama. InsyaAllah anak itu akan mencontohi orang tuanya.

ILMU YANG DIAJARKAN KPADA ORANG LAIN: Adapun yang dimaksudkan dengan ilmu adalah bukan ilmu agama sahaja. Ilmu itu adalah umum, ilmu ertinya adalah "Pengetahuan". Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. : "Sempurnanya agama dengan ilmu, sempurnanya dunia juga dengan ilmu."
Jadi tegaslah ilmu apa saja yg telah diajarkan kepada orang lain dan orang lain itu mendapat manfaat dari ilmu tersebut, maka org pertama yang mengajarkannya jika dia seorang muslim dia mendapat pahala yg tidak habis disisi Allah s.a.w.

Misalnya org pandai membetulkan radio rosak kemudian kepandaiannya diajarkan pada orang lain, lalu orang itu mendapat manfaat daripadanya yang disunatkan untuk mencari nafkah, maka orang yang mengajarkannya mendapat pahala "jariyah" dari sisi Allah s.w.t.

 


Klik untuk baca lagi...Amalan yang Tidak Putus Pahalanya

Selasa, 12 Julai 2011

Lebuh Raya : Kenalkan Diri Kita Siapa Sebenarnya





Ketika memandu pulang untuk menguruskan perkahwinan adik minggu yang lalu saya benar-benar teruji. Lebuh raya Selatan ke Utara begitu sesak. Merangkak-rangkak rasanya menuju destinasi. Sangat menguji kesabaran. Ah, sesak yang begini sudah terasa seksa inikan pula sesak di padang Mahsyar.

Dalam belaian hawa dingin di dalam kereta masih terasa "panasnya" menunggu, inikan pula menunggu perbicaraan di sana nanti. Kita tidak akan mampu. Mudah-mudahan ini menjadi motivasi untuk menjadi antara tujuh golongan yang mendapat naungan Arsy di Mahsyar nanti.

Bila sesak, semuanya bergolak. Yang memandu dan siapa yang bersama-sama dalam kereta sama-sama teruji. Silap-silap bahang "di luar" menjadi bara di dalam. Alangkah baiknya bila ada cd atau kasset ceramah, ayat Quran yang menjadi teman perjalanan. Untung juga dapat belajar dan berhibur dengan sesuatu yang bermanfaat.

Tetapi itu bukan suatu yang hendak saya kongsikan bersama saudara saudari kali ini. Ada sesuatu yang lain, yang saya kira lebih tersirat dan menyentuh. Bila sesak, pemandu di lebuh raya juga terbahagi kepada beberapa golongan (persis pembahagian golongan di padang mahsyar nanti?).

Golongan pertama, golongan yang hilang sabar. Mereka ini terus sahaja memasuki lorong kecemasan dan memecut ke hadapan, memintas orang lain dengan melanggar undang-undang. Ramai yang buat begitu. Asalkan matlamat diri tercapai, peduli apa undang-undang atau nilai-nilai murni. Saman? Mungkin itu sahaja yang menggerunkan mereka. Tetapi bagi sesetengah yang berduit, setakat dua tiga ratus RM, tidak menjadi kudis. Bayar dan redah sahaja!

Golongan yang kedua. Tidak seberani golongan yang pertama. Nak redah? Kalau kena saman bagaimana? Nanti dilihat orang bagaimana? Malunya masih ada. Congak untung rugi masih rasional. Kena saman nanti, tak berbaloi. Tetapi dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa geramnya melihat golongan pertama begitu berani dan "kurang ajar".

Hendak ditiru, tidak berani. Jadi, teruskan perjalanan dengan hati yang "terseksa". Menyumpah sepanjang jalan. Muka berkerut dan geram. Jika terperangkap dua jam, dua jam itulah hilang bahagia dan ketenangan. Bila pemandu hilang bahagia, hati-hati seluruh penumpang yang bersama.Jangan ada yang tersilap, habis semua menerima padahnya. Ikut undang-undang dengan terpaksa, itulah padahnya.

Golongan ketiga, lain pula keadaannya. Mereka tenang dan senang-senag sahaja. Sesak? Ya, itu memang sudah dijangkakan. Jadi golongan ini lebih bersedia. Memintas di lorong kecemasan? Oh, tidak sama sekali. Mereka ini mempunyai prinsip nilai yang tinggi. Siapa pun hendak cepat, tetapi apa maknanya kalau kita hilang nilai sabar, timbang-rasa, tolak ansur dan hormat menghormati. Mereka tahu apa yang mereka "kejar" dalam hidup ini. Terseksa? Tidak, mereka bahagia. Susah, memang susah. Tetapi mereka telah bersedia dengan "bahan" atau "alat-alat" tarbiah dan hiburan sebagai bekalan.

Kekadang terperangkap sejam dua, "menghadiahkan" masa untuk kita mendapat ilmu melalui ceramah atau kuliah mahupun diskusi ilmu bersama keluarga atau teman-teman sekereta. Boleh jadi, satu permasalahan keluarga dapat diselesaikan. Apalagi kalau kita "terperangkap" dalam kesesakan bersama dengan orang yang kita cintai.Ah, tak terasa segalanya. Malah, aneh kekadang makin lama terperangkap makin "nikmat" rasanya. Rasa cinta kata orang, ajaib nikmatnya. Cinta merubah kesesakan jalan raya menjadi medan cinta. Dan cinta mampu memutar jarum waktu menjadi terlalu "laju" dalam loji rasa.

Di mana kita? Golongan pertama yang rakus hidup tanpa nilai? Golongan kedua, pengecut yang hidup marah-marah tanpa ketenangan? Atau golongan ketiga yang hidup dengan ketenangan atas keyakinan,ada sesuatu yang lebih berharga dalam litar kehidupan yang tidak sekali-kali ingin dikorbankan di litar jalan raya.
Ah, ketika orang menjadi rakus, buas dan berebut-rebut memburu kejayaan dengan mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan dan agama, apakah kita menjadi marah kerana tidak "mampu" menjadi mereka. Atau kita terus bahagia mengikut jalan kebenaran kerana tidak "mahu" menjadi mereka.

Ya, kalau kita bersesak-sesak kini, dulu dan nanti di lebuh raya, cuba kenang-kenangkan "ole-ole" renungan yang sederhana ini. Lebuh raya hakikat cerminan lebuh "kehidupan" yang lebih luas dan mencabar. Kenang-kenangkan destinasi dalam kembara yang singkat ini. Korban di jalan kehidupan ini sesungguhnya lebih dahsyat daripada korban jalan raya yang sering digembar-gemburkan oleh media massa. Kita di golongan yang mana?



Klik untuk baca lagi...Lebuh Raya : Kenalkan Diri Kita Siapa Sebenarnya

Tazkirah & Dakwah





Menyeru itu tugas setiap Muslim. Tiada yang terkecuali. Titik!

Tidak semua manusia yang diajak (dakwah) akan menurut seruan. Tidak semua manusia akan terbuka pintu hatinya dan tiada satu pun penyeru dapat mengubah seseorang ke jalan Allah melainkan dengan izin Allah S.W.T.

Bertemu dengan manusia, semestinya mempunyai banyak ragam. Maka seruan itu harus ada variasi dan penuh hikmah. Melihat keadaan masyarakat yang dijadikan sasaran untuk diajak mengenal jalan Allah itu adalah satu kemestian sebelum memulakan langkah dakwah. Peringatan, penyeru hanyalah penyeru!

Menyeru Kepada Ma'ruf

Apabila mengajak seseorang kepada kebaikan, tidak kira siapa, bukanlah menunjukkan bahawa diri kita lebih baik dari orang lain. Hakikatnya dakwah itu adalah untuk menyeru diri kita sendiri dan orang lain ke arah yang diredhai ALLAh SWT.

Maka, untuk melakukannya memerlukan perancangan dan sasaran yang tepat!
Mengajak kepada ma'ruf semestinya perlu berpandukan ilmu dan kefahaman yang jelas. Untuk apa kita berdakwah? Kenapa kita berdakwah? Atas kerana apa kita perlu melakukannya? Kerana ianya adalah amanah Allah S.W.T!

Dai'e tidak seharusnya mengamalkan sikap serkap jarang terhadap sasaran mad'u mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah mengenalpasti sasaran dan kaedah yang bersesuaian untuk digunakan dan dalam masa yang sama memperbetulkan niat dan memastikan bahawa diri sendiri mengamalkan apa yang hendak diperkatakan kepada orang lain.

Kerana apa? Ucapan anda akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Syed Qutub ada menjelaskan, "Sesungguhnya kerja-kerja dakwah dijalankan semata-mata untuk menuju ke pangkuan Ilahi, bukan untuk kepentingan diri dan puak! Dan seorang dai'e tidak lain tidak bukan hanyalah menjalankan amanah Allah S.W.T..."

Mencegah Yang Mungkar

Mencegah yang mungkar juga memerlukan kefahaman dan kaedah yang telah digariskan dalam Islam. Pencegahan terhadap kemungkaran sebenarnya adalah mengikut kemampuan diri anda sendiri sama ada mengubah dengan tangan jika berkuasa dan mampu. Dengan lidah, iaitu menasihatinya dan mencegah dengan hati, iaitu membenci kemungkaran tersebut lalu meninggalkannya.

Saya berikan contoh situasi. Anda didatangi oleh sekumpulan kawan anda yang mengajak anda untuk meminum arak. Anda tidak mampu untuk mencegah dengan tangan. Lalu anda mencuba untuk mencegah dengan lidah, dan ia tidak berkesan. Lalu anda menggunakan kaedah pencegahan yang terakhir, iaitu membenci dengan hati. Lalu anda meninggalkan kumpulan kawan anda itu.

Pendek kata, mencegah dengan hati dan meninggalkan serta merta!

Anda Penyeru, Anda Contoh

Menyeru ke arah kebaikan iaitu jalan mengenali Allah dan keindahan Islam memang tugas seluruh Muslim. Namun, seruan itu adalah lebih kepada diri anda sendiri. Kenapa saya berkata demikian?

Kerana, andalah contoh terhadap kata-kata anda. Kata orang, cakap mesti serupa bikin. Setidak-tidaknya kita berusaha dan berusaha untuk menjadi baik dipandangan Allah S.W.T. Jangan jadi seperti orang yang asyik menyeru tetapi melupakan diri sendiri.

Eh, adakah orang seperti itu? Ada. Hayati kalam Allah S.W.T ini,

"Mengapa kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri,  padahal kamu membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" – (al-Baqarah : 44)

Malah Allah telah mencatatkan bahawa seorang dai'e yang cakap tidak serupa bikin akan dibenci oleh-Nya dan kebencian Allah itu adalah satu musibah yang besar bagi manusia!

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan." – (as-Shoff : 2-3)

Hakikatnya, berdakwah itu adalah seruan untuk diri sendiri terutamanya, kemudian barulah untuk orang lain. Maknanya, diri sendiri lebih bertanggungjawab untuk mempraktikkan apa yang telah diucapkan oleh bibir.

Agama Allah tetap akan ada tanpa kita dan kita bukan siapa-siapa tanpa Islam!

Mari memperbaiki diri dan orang lain!

Semoga Allah merahmati.



Klik untuk baca lagi...Tazkirah & Dakwah

Rabu, 6 Julai 2011

HUBUNGAN SESAMA MANUSIA



 

Para Sahabat dan Solihin Yang Terhormat,


Marilah sama-sama kita pastikan diri kita agar tersenarai dalam golongan orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T. dalam erti kata mematuhi perintah Tuhan dan meninggalkan larangan-Nya. Ini kerana cara yang demikian sajalah untuk kita sebagai hamba Allah yang tinggal dimuka bumi-Nya dapat hidup dan kita Ialui dengan penuh kenikmatan dan keberkatan. Dengan bertakwa kepada Allah S.W.T. sahajalah kita semua, Insya'Allah dapat mencapai matlamat hidup iaitu keredhaan Allah S.W.T.

  Untuk mempastikan diri kita menjadi hamba Allah yang baik atau dengan tepatnya menjadi 'khalifahtullah' di atas muka bumi ini, kesempurnaannya amat bergantung kepada sejauh mana seseorang itu mampu mengharmoniskan hubungannya dengan Yang Maha Pencipta Allah S.W.T. dan juga sejauh mana kemampuan seseorang itu menserasikan hubungannya dengan sesama manusia. Inilah yang menjadi titik tolak dalam kehidupan insan muslim mukmin yang beriman dengan Allah S.W.T. Inilah yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:


Maksudnya:


'Ditimpa kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan agama Allah S.W.T. dengan menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. dan juga berbuat baik sesama manusia..'
(Surah Ali-Imran: 112)


   Alhamdulillah, agama Islam yang kita anuti ini, begitu prihatin dan telah menyusun adab-adab serta disiplin- disiplin hubungan yang diperlukan sebagai pra-syarat kepada kesempurnaan kita untuk menjadi khalifah Allah S.W.T. Islam telah menyusunnya dengan begitu terperinci satu persatu dengan tujuan mempastikan supaya kehidupan hamba Allah itu berjalan dengan penuh harmoni,dengan penuh selesa,dengan penuh damai dan jayanya. Disusun begitu rupa bermula daripada beberapa adab dan disiplin yang begitu banyak yang antaranya disusun adab-adab berkeluarga, adab-adab kehidupan berumah tangga, adab bersuami isteri dan adab beranak pinak. Ini semata-mata bertujuan agar keluarga itu dapat mengecapi kebahagiaan sebagaimana yang diungkapkan 'Baiti Jannati',Rumahku Syurgaku. Kemudian disusun pula dengan adab-adab berjiran tetangga atas dasar hormat-menghormati supaya kehidupan sekampung dan sehalaman itu selesa berbahagia agar tidak bersengketa antara satu dengan yang lain. Islam juga tidak cuai dalam menyusun adab dan disiplin hubungan antara sesama umat Islam,yang bermatlamatkan untuk benar-benar dapat merealisasikan apa yang Allah S.W.T. firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:

'Sesungguhnya orang yang mukmin itu bersaudara di antara satu dengan yang Lain.'
(Surah al-Hujurat : 10)


  Tidak juga dicuaikan oleh Islam di mana disusun adab-adab dan perhubungan antara orang Islam dengan bukan Islam yang berteraskan kemanusiaan sebagai merealisasikan apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T.dalam al-Qur'an;

Maksudnya:

'Wahai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
(Surah al-Hujurat: 13)

  Ini telah dijelaskan dalam al-Qur'an. Selain daripada itu, disusun oleh Islam berbagai-bagai adab yang lain hatta adab bertegur sapa, melarang, menasihat dan berdakwah yang semuanya ada disiplin dan ada adab yang telah ditetapkan oleh Islam, supaya dapat dilaksanakan dengan penuh harmonis dan dengan penuh selesa, sehinggakan apabila Allah S.W.T. memerintahkan Nabi Allah Musa a. s. dan Nabi Allah Harun a.s. supaya pergi kepada Firaun dengan firman-Nya:

Maksudnya:

'Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia telah melewati batas kekufurannya. Maka kamu berdua bercakaplah padanya dengan kata-kata yang lemah-lembut mudah-mudahan dia akan ingat 
dan takut akan Allah S.W.T.'
(Surah Taha: 43-44)

  Hingga begitu rupa sekali walaupun Firaun itu memang ternyata kufurnya, memang ternyata tergelincir daripada landasan yang sebenar, tetapi masih lagi dipentingkan adab bagi Nabi Musa a.s. dan Harun a.s.untuk menyeru Firaun supaya kembali ke jalan Allah.

  Begitulah pendekatan yang digunakan dalam Islam untuk menserasikan, melunaskan dan mewujudkan keharmonian antara manusia dengan manusia di samping hubungan manusia dengan Allah S.W.T.

  Terdapat kekeliruan yang diketengahkan di tengah- tengah masyarakat hingga menyebabkan masyarakat terpinga-pinga dan terkeliru dengan beberapa keadaan yang menjejaskan maruah umat Islam dan juga imej Islam itu sendiri. Dikatakan bahawa untuk menyampaikan sesuatu mesej itu, Islam membenarkan kita menggunakan cara yang kasar, cara menggunakan maki hamun, cara menggunakan mencarut atau sebagainya, apakah begitu? Apakah benar begitu? Kalau kita terima kenyataan ini,kalau kita katakan bahawa Islam itu membenarkan cara maki hamun, cara mencarut, atau sebagainya untuk menyampaikan mesej, tidakkah itu bertentangan dan bercanggah dengan nas-nas yang sarih, dengan nusus-nusus Islamiah yang terang, tidakkah ia bercanggah dengan apa yang Tuhan firmankan dalam al-Qur'an:

Maksudnya:

'Dan hendaklah kamu berkata kepada manusia itu dengan kata-kata yang baik (dengan kata-kata yang lembut dan tidak menyakitkan hati.'
(Surah al-Baqarah : 83)

  Ini firman Allah S.W.T, kalau kita terima pandangan bahawa Islam itu membenarkan kita berkasar, kita mencarut, tidakkah itu bertentangan dengan apa yang Nabi kita Muhammad s.a.w. tegaskan dalam hadithnya:

Maksudnya:

'Awasilah kamu kata-kata yang kotor, maka sesungguhnya Allah Ta'ala tidak suka (dalam erti kata benci), dengan kata-kata yang kotor dan mereka yang berperangai kotor.'

Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

Maksudnya:

'Bukankah sebenarnya orang yang beriman,mereka yang mencaci cela dan melaknat yang mengeluarkan kata-kata kotor dan mengeluarkan kata-kata yang hina.'

Kalau kita terima kenyataan yang kita katakan tadi, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi sabdakan:

'Maksudnya:

'Memaki hamun orang mukmin itu, adalah satu perkara yang tergelincir, rosak dan pembunuhannya itu adalah kekufuran.'

  Kalau kita terima, Islam itu membenarkan kita berkata sewenang-wenangnya, tidakkah ia bercanggah dengan apa yang Nabi sabda dalam hadithnya:

Maksudnya:

'Berbahagialah mereka yang dapat menahan dan mengawal lebihan daripada lidahnya yang terlampau lancang, hingga mengeluarkan kata-kata yang lucah dan carut marut.'

  Kalau kita terima bahawa insan membenarkan dakwaan mengatakan kita boleh berkata sewenang~wenang walaupun dalam bentuk tidak begitu sopan, tidakkah ini bercanggah dengan apa yang Nabi katakan dalam hadith:

Maksudnya:

'Sesiapa yang beriman dengan Allah dan beriman pada Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata dengan kata-kata yang baik atau kalau tidak dapat melakukannya, lebih baik bendiam sahaja.'

  Kalau kita terima bahawasanya kita boleh lakukan carut mencarut, maki hamun dan sebagainya tidakkah bercanggah dengan apa yang Nabi sebutkan dalam hadithnya:

Makksudnya:

'Cukup atau memadai, seseorang itu dikatakan jahat, apabila dia memandang hina, merendah-rendahkan saudaranya Muslim yang Lain.'

Kalau kita terima kenyataan yang seperti itu, tidakkah ia bercanggah dengan hadith Nabi:

Maksudnya:

'Tidak wajar dan tidak harus bagi seseorang mukmin itu memandang saudaranya dengan pandangan yang menyakitkan hati.'

Kalau kita terima juga kenyataan itu, bagaimana pula sabda Nabi kita Muhammad s.a.w.:

Maksudnya:

'Tidak lurus seseorang hamba itu, melainkan lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya melainkan lurus lidahnya dapat memelihara daripada kata-kata yang keji dan tidak masuk syurga seseorang itu yang sentiasa tidak lepas daripada mengganggu gugat jiran tetangganya.'

  Inilah para sahabat dan para solihin yang dihormati, akibat atau implikasi andaikata kita terima kenyataan yang sebegitu rupa, yang jelas kelihatan kepada kita merosakkan umat Islam itu sendiri bahkan merosakkan imej Islam itu sendiri.

  Tidak ada salahnya kita berlainan pendapat, tidak ada salahnya kita berbeza pandangan, kerana itu lumrah hidup manusia. Tetapi sejauh mana mampu kita mengendalikan perbezaan itu untuk memastikan ia benar-benar berada dalam keadaan baik, benar-benar diasaskan dengan pertimbangan yang rasional dan benar-benar tidak diruntuni sebarang sentimen. Malah, walaupun berbeza- beza pendapat, hingga kalau perlu kepada perdebatan dan perbahasan pun Islam mengatur disiplinnya. Bukankah Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:

'....Bermujadalahlah, berdebatlah atau berbahaslah kamu dengan mereka itu dengan cara yang lebih jitu yang terlebih baik, yang terlebih lunak... '
(Surah an-Nahl : 125)

Inilah yang harus kita fikirkan kalau kita terima kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan imej umat Islam itu sendiri.

  Persoalannya, apakah kita perlu, dalam menyampaikan sesuatu mesej itu, kita mesti mengikut rentak-rentak orang. Apakah untuk menyampaikan satu-satu mesej itu, kita perlu mengikut, meniru cara orang Barat. Orang Barat memanglah hidupnya begitu lepas, tidak tahu dibezakan yang mana baik dan buruknya lagi. Apakah kita perlu meniru begitu kalau kita ingin menyampaikan sesuatu mesej? Maka kita harus tiru mereka, tutur kata lucah mereka, tutur kata yang jijik, tutur kata yang cemar? Kemudian harus dianggap cara itu tinggi nilai seni dan tinggi nilai sastera. Lantas dipertahankan pula, dengan menyatakan, itu adalah cara terbaik oleh kita. Bukankah yang demikian itu hanya memperlihat betapa dalamnya sentimen diri, yang mendorong kepada fanatik atau ta'asub.Harus diingat, apabila sentimen menguasai diri, mata kita akan gelap melihat segala-galanya. Bak kata ungkapan, 'mata musuh gelap menimbang kebaikan, mata kawan buta melihat kesalahan. 'Lantas menghasilkan pula ungkapan 'Perbuatan kita benar belaka, perbuatan orang salah semua'.

  Inilah yang harus kita pertimbangkan dan harus kita fikirkan. Semua ini dengan harapan tidak usah kita tersasul dan tidak usah kita terbabas dan melatah. Sesuatu yang terang bercanggah dengan ajaran Islam kita katakan itu daripada Islam.Janganlah kita termasuk dalam golongan apa yang Allah S.W.T. firmankan:

Maksudnya:

'... Usah memperdagangkan ayat-ayat Tuhan itu dengan begitu murah harganya...'
(Surah al-Baqarah: 41)

  Usah diseret Islam menuruti kita. kita harus menuruti Islam. Janganlah semudah itu untuk kita katakan atas nama Islam, boleh segala-gala. Boleh kita lakukan, boleh kita memaki hamun atas nama Islam, boleh kita mencaci atas nama Islam, boleh kita menggelar orang itu dan orang ini dengan berbagai-bagai gelaran yang tidak direlai oleh orang yang empunya diri. Persoalannya, harus kita merenungkan perkara ini. Mana budi bahasa kita, mana sopan santun kita, mana resam timur kita, mana adat Melayu kita, mana budi perkerti kita, mana akhlak kita? Hinggakan bukan sahaja menjatuhkan maruah atau imej kita, malah orang yang bukan Islam pun timbul kekeliruan, apa sudah jadi dengan umat Islam yang dahulunya mengatakan bahawa Islam tidak membenarkan mengeluarkan kata-kata kotor, lucah dan sebagainya tetapi sekarang sudah sebaliknya.

  Bukankah ini menimbulkan kekeliruan yang merugikan orang Islam dan agama Islam itu sendiri. Apakah wajar kita samakan carut marut ini dengan firman Allah S.W.T. Apakah benar itu ajaran Islam? Bukankah Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:

'Wahai orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu mengeji atau memperolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi orang yang mereka perolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka dan jangan pula wanita-wanita memperolok- olokkan wanita yang lain kerana boleh jadi mereka lebih baik daripada wanita-wanita itu...'
(Surah al-Hujurat : 11)

  Inilah yang harus kita fikirkan apa yang Tuhan tarik perhatian kita itu. Apakah sanggup kita tukarkan format tarbiah kita? Rata-rata sejak datuk nenek kita sehingga sekarang mendidik anak-anak kita supaya jangan mengeluarkan kata-kata yang kasar, jangan keluarkan maki hamun. Tersasul dari mulut anak mengeluarkan perkataan yang tak senonohpun, kita cubit mulut anak itu kerana ia tidak wajar diucapkan.

  Itu dia format didikan kita, itu dia cara didikan kita. Apakah kita mahu tukarkan pula dengan pendekatan pendidikan atau methodologi pendidikan dengan cara, gaya dan budaya carut mencarut serta maki hamun ini?Inilah yang harus kita renung. Inilah yang harus sama-sama kita fikirkan. Semoga Allah S.W.T. akan memberi taufiq dan hidayah kepada kita kerana kalau cara ini berterusan, cara ini kita amalkan, maka ternyata sekali pemikiran kita sudah gersang. Apabila pemikiran kita sudah gersang, tamadun akan pincang dan akan membawa kita kecundang. Nauzubillahi min zalik.

Klik untuk baca lagi...HUBUNGAN SESAMA MANUSIA

Ahad, 3 Julai 2011

Kadar Jenayah

   Perkembangan kadar jenayah yang semakin meningkat masa kini amat membimbangkan dan mencetuskan pelbagai persoalan khususnya tentang punca kepada berlakunya jenayah tersebut. 

   Namun, ianya akan dapat dibendung jika masyarakat sama-sama bergerak secara aktif membantu pihak berkuasa dengan menjadi ‘mata dan telinga’ dalam melaporkan segala salah laku yang berlaku dalam komuniti masing-masing.

   Dengan melihat kadar jenayah yang dilihat semakin meningkat, terutamanya yang membabitkan kes juvana, membuktikan ‘ada yang tidak kena’ dalam institusi keluarga ketika ini.

   Ibu bapa seharusnya memainkan peranan lebih penting dalam memantau pergerakan anak-anak mereka, aktiviti seharian serta dengan siapa mereka berkawan. Ini dapat mengelakkan mereka dari melakukan perkara-perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah, seks rambang dan pembuangan bayi,’ 

   YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) sudah melaksanakan program Inisiatif Desa Selamat (IDS) berasaskan kepada prinsip Inisiatif Bandar Selamat (IBS), bagi mewujudkan persekitaran selamat untuk kawasan desa dan penduduknya.

   IDS adalah program mengandungi aktiviti dirancang dengan kerjasama polis dan orang ramai bagi menyelesaikan masalah setempat berkaitan jenayah khususnya untuk mewujudkan persekitaran fizikal yang boleh menangani jenayah dan sekali gus mencegah kegiatan itu.

   Pada dasarnya, 11 aktiviti asas akan diambil kira dalam pelaksanaan IDS iaitu, pemilihan kawasan projek, mengenal pasti kumpulan sasar, menerangkan konsep IDS kepada kumpulan sasar, menubuhkan jawatankuasa desa selamat untuk memusatkan pentadbiran keselamatan kawasan projek membabitkan Jawatankuasa Keselamatan Kampung, Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela.

   Jawatankuasa Desa Selamat akan dipengerusikan wakil penduduk atau lebih sesuai tok penghulu atau tok sidang dan ahlinya terdiri da ripada wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN), pejabat daerah, polis, Jabatan Pertahanan Awam, RELA, NGO-YPJM, agensi dan jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Luar Bandar dan Desa, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Pertumbuhan Penduduk dan Keluarga serta jabatan lain yang berkenaan.

   Pendekatan Inisiatif Desa Selamat untuk mencari penyelesaian dalam konteks keperluan tempatan oleh penduduk sendiri, warga penduduk harus diiktiraf sebagai golongan yang memainkan peranan melalui sumbangan idea untuk menangani jenayah.

   Inisiatif ini mengiktiraf keselamatan desa sebagai sebahagian dasar awam yang terpenting dalam kehidupan luar bandar. Inisiatif desa selamat bermaksud untuk membina perhubungan baik antara berbilang kaum berlandaskan nilai murni. Ia juga membantu mengeratkan hubungan kaum di samping memperkukuhkan konsep kejiranan.

   Pihak Kerajaan, YPJM dan badan bukan kerajaan yang lain sentiasa berusaha bagi meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa ‘jenayah membawa padah’ dan  tidak memberi apa-apa kebaikan, malahan bakal merosakkan negara jika belia sekarang khususnya, terjebak dalam pelbagai kegiatan tidak bermoral.

   YPJM juga mempunyai beberapa pendekatan bagi memastikan mereka yang pernah ‘dikurung’ ini diberikan nafas baru. Sebagai contoh, di Kuala Lumpur, kita menyediakan ‘rumah persinggahan’ bagi mereka, dan membantu mereka mendapatkan kerja, di restoran mahupun sebagai pemandu teksi. ’

   Disamping itu, YPJM juga cuba memperkemaskan lagi idea ‘kawasan bandar selamat’ yang telah dipraktikkan di beberapa negara maju, di mana didalamnya terjalin satu kerjasama diantara masyarakat setempat dan pihak berkuasa dalam usaha memerangi jenayah di kawasan mereka,’


Klik untuk baca lagi...Kadar Jenayah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...